SELAMAT DATANG

Ke Blog Linguistik.

LINGUISTIK

Bahasa Malaysia

SALASIAH BINTI KEDIT

( D20102044256 )

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Program Pensiswazahan Guru PPG ambilan 2011.

Pendidikan Digital Untuk Semua

KRT3013: Teknologi Maklumat Sekolah Rendah

Sabtu, 31 Disember 2011

SELAMAT MENEMPUHI 2012 BUAT RAKAN PPG PJJ UPSI

Assalammualaikum w.r.t dan salam sejahtera...



Tahun baru menjelang lagi... sudah tercapaikah segala matlamat di tahun 2011? Banyak perkara telah berlaku dalam hidup kita, namun hanya segelintir daripada kita sahaja yang mengambil iktibar darinya. Betul atau tidak, itu terpulang kepada penilaian individu itu sendiri. Namun bagi saya, Tahun 2011 membari banyak ilmu dan pengalaman yang berharga saya perolehi. 

Tahun ini merupakan tahun pertama saya bergelar siswi untuk universiti kebangaan para pendidik iaitu UPSI.. Banyak ilmu yang saya perolehi setelah setahun berjuang dalam meneruskan pengajian demi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang Keguruan. Satu bidang yang saya minati sejak mula mengajar sebagai "Guru Sandaran" di sebuah Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah di Pedalaman negeriku. Peluang yang tidak mungkin disia-siakan begitu sahaja. Walaupun banyak halangan dan kekangan dalam menyiapkan tugasan dan forum, alhamdulillah berkat kesabaran dan ketekunan mentelaah, dapat jua dilaksanakan dengan baik. Terima kasih kepada suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan. Tidak lupa buat pensyarah yang memberi ilmu pengetahuan dan motivasi untuk menyiapkan tugasan. Saya turut berterima kasih kepada  Ketua Jabatan, Guru Besar dan rakan-rakan Guru di SK Abang Leman, Kabong serta rakan-rakan seperjuangan PPG PJJ UPSI khasnya kumpulan ELQ02 dan ELQ03 yang banyak memberi info terkini dan motivasi. Syukur kepaada Allah s.w.t memberi nikmat ini kepada kita semua. Bukan mudah bagi saya mengharungi 2011 tanpa kata semangat dari insan-insan ini. 

Bila difikirkan... sungguh menarik pengalaman ini. Mengajar dan belajar, masa perlu dibahagikan dengan sebaik-baiknya. Sebagai guru, saya perlu memberi komitmen yang penuh kepada murid saya yang memerlukan ilmu daripada saya. Dalam masa itu juga, saya perlu belajar untuk memberi yang terbaik untuk diri sendiri dan anak murid. Seronok dan kadang kala meletihkan. Selain itu, status pun makin bertambah. Maknanya...saya juga seorang isteri, ibu, guru dan pelajar dalam satu masa. Sungguh manis pengalaman ini dan cukup berharga bagi mereka yang rindukan dan ketandusan ilmu pengetahuan.

Semoga kita semua dapat mengharungi 2012 dengan jiwa yang tenang dan bersemangat dalam mengejar cita-cita dan meyemarakan pelajar kita dengan ilmu pengetahuan. Saya berdoa kepada Allah s.w.t agar kita diberi kesihatan yang baik untuk kita jalani hidup yang penuh dengan ujian yang tidak terduga oleh akal kita yang dangkal.

Selamat Tahun Baru 2012...

Wassalam.

Isnin, 12 Disember 2011

Pengenalan

PERSEDIAN MENGAJAR, PENGAJARAN MAKRO DAN MIKRO

Definisi Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan pengajaran ialah rangka kerja aktiviti pengajaran pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah dalam satu jangka waktu yang telah ditetapkan.

Tujuan?

Menjamin pencapaian objektif.
Meningkatkan keyakinan guru untuk mengajar.

Apa dia pengajaran?

Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan.

Apakah ciri-ciri Pengajaran?

  • guru dan murid,
  • guru sebagai pengajar dan murid sebagai pembelajar,
  • hanya bermakna apabila ada pembelajaran,
  • melibatkan instruksi diikuti dengan latihan, indoktrinasi dan pelaziman,
  • melibatkan proses pemikiran dan penggunaan bahasa atau symbol,
  • ada kaitan dengan tugasan dan pencapaian,
  • boleh dijalankan dengan aktiviti berpusatkan guru, murid dan gabungan guru-murid serta berpusatkan sumber,
  • meliputi rancangan mengajar (KOPI),
  • proses yang melibatkan interaksi dua hala,
  • ada unsur sains dan seni.
Apa dia pembelajaran?

Umumnya “Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran”. Mengikut Robert M. Gagne (1970)  dalam The Condition of Learning, pembelajaran  merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”.
Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang  dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru.

Pembelajaran :

  • Satu proses yang berterusan,
  • Secara formal dan tak formal,
  • Secara formal melalui sekolah – membaca, menulis  & mengira dsb.,
  • Secara tak formal melalui rakan sebaya, keluarga, media massa, persekitaran.
  • Mempunyai teori-teori atau mazhab pembelajaran,
  • Empat mazhab pembelajaran utama – behavioris, kognitif, sosial dan humanis.
Apa dia Mazhab Behavioris?

  • Tokoh-tokoh seperti Parvlov, Thorndike, Skinner
  • Pembelajaran berkaiatan dengan perubahan tingkah laku.
  • Teori berasaskan pemerhatian ujian terhadap haiwan – anjing, tikus, burung, kucing dsb.
  • Fokus ujian ialah ransangan dan gerakbalas yang boleh menghasilkan perubahan tingkah laku,
  • Tingkahlaku murid boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.
Apa dia Mazhab kognitif?

  • Tokoh-tokoh seperti Piaget, Kohler, Bruner, Gagne & Asubel
  • Pembelajaran adalah proses dalaman iaitu dalam akal fikiran,
  • Tidak dapat diperhatikan secara langsung,
  • Tumpuan kajian mereka kepada pembelajaran melibatkan proses penyelesaian masalah dan celik akal,
  • Cara pembelajaran celik akal, penyelesaian masalah, penemuan dsb.,
  • Manusia mempunyai struktur kognitif, otak akan menyusu maklumat dalam ingatan.
Apa dia Mazhab sosial?

  • Tokoh seperti Bandura,
  • Menggabungkan Mazhab Behavioris dan Kognitif
  • Pembelajaran proses pemerhatian dan peniruan,
  • Pembelajaran melibatkan perubahan tingkahlaku dan aspek pemikiran dalaman
Apa dia Mazhab humanis?

  • Tokoh ialah Carl Rogers
  • Pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaan
  • Setiap individu mempunyai cara belajar yang berbeza,
  • Strategi pengajar boleh diatur mengikut kehendak individu
  • Setiap individu ada potensi untuk maju
  • Guru hendaklah menjaga kendiri pelajar dan perkembangkan potensi optimum
Pengajaran meliputi rancangan mengajar (KOPI)



APA DIA STRATEGI PENGAJARAN?

Mengikut Mok Soon Sang 1992, Pedagogi 2 m.s. 8


  • Pendekatan – jalan yang diambil
  • Kaedah – cara teratur, kemas & sistematik
  • Teknik - kaedah membentuk teknik. Misalnya kaedah bercerita = teknik menyampaikan cerita (gaya); kemahiran menyampaikan cerita; pelbagai teknik.
FORMAT PERSEDIAAN MENGAJAR / PENGAJARAN MAKRO

Semua guru perlu merancang pengajaran masing-masing untuk memastikan keberkesanan pelajaran, meningkatkan pencapaian pelajar , disamping mengurangkan masalah-masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran.   Untuk membuat  perancangan pengajaran guru perlu melaksanakan beberapa perkara :

  • Meneiiti dan mentafsir sukatan pelajaran
  • Membuat skema Rancangan Kerja untuk sesuatu tahun, dan
  • Menyediakan Persediaan Mengajar Harian
Persediaan Mengajar yang juga dikenali sebagai Rancangan Pengajaran Harian yang lengkap perlu dirancang dan disediakan. Persediaan mengajar yang disediakan dengan jelas, teliti dan lengkap adalah kunci kejayaan kepada guru.  Melalui Persediaan mengajar yang lengkap dan sistematis membolehkan guru :

a.    Menentukan objektif pelajaran supaya guru tidak terkeluar dari apa yang dirancang
b.    Memahami dan menentukan isi pelajaran yang cukup disampaikan dalam masa yang diperuntukkan
c.    Menentukan strategi pengajaran yang sesuai dengan peringkat, kebolehan dan minat pelajar
d.    Menentukan dan menyediakan BBM yang perlu
e.    Merancang aktiviti murid-murid
f.     Mengawal bilik darjah dengan baik
g.    Menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran murid
h.    Guru lebih berkeyakinan semasa menghadapi murid
i.      Mengingati bahan pengajaran yang akan disampaikan
j.      Menjimatkan masa kerana segala pengajaran dan aktiviti dapat dijalankan dengan teratur
k.    Memilih jenis soalan yang sesuai serta mencabar untuk dikemukakan semasa pengajaran
l.      Memikirkan cara untuk memotivasikan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran
m.   Merancang bagaimana nilai murni dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Format Persediaan Mengajar / Rancangan Pengajaran Harian


Tahun (kelas) :                                                                                         Tarikh :
Bilangan pelajar :                                                                                      Masa :
Mata pelajaran :

Tajuk yang hendak diajar :
Sub-Topik :

Pengetahuan sedia ada :
Objektif Pengajaran :

Bahan Sumber Pengajaran :
Pemikiran Kreatif & Kritis :
Nilai Murni :
Strategi P & P :
Kajian Masa Depan :
Langkah Keselamatan (jika perlu)

Pelaksanaan P & P:
Penyampaian/ Masa
Isi Pelajaran/ Kemahiran
Aktiviti Pengajaran dan
Pembelajaran
Catatan
Set induksi:
( 5 min)



Langkah 1
(        min)



Langkah 2
(        min)



Langkah 3
(        min)



Penilaian
(        min)



Pentup
( 5 min)
Refleksi Pelajar
Rumusan Guru



Refelksi Guru : 1. Sebelum P & P :

                         2. Selepas P & P :

Rumusan Penyelia :


 * Bilangan langkah / perkembangan pengajaran tertakluk kepada isi pelajaran

PENENTUAN OBJEKTIF

Objektif pelajaran bagi sesuatu tajuk merupakan kenyataan yang guru harapkan dan dapat ditunjukkan oleh pelajar pada tingkahlakunya. 

Kegunaan Objektif

Kegunaan objektif pelajaran yang ditulis dalam bentuk objektif tingkahlaku atau objektif perlakuan adalah banyak.  Antaranya :

              i.        Menitikberatkan tingkahlaku dan pencapaian pelajar dan tidak berpusatkan guru, oleh itu guru perlu lebih peka pada keperluan dan kebolehan pelajar
             ii.        Memberi arah tuju kepada guru di samping dapat membantu menilai kemajuan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran
            iii.        Sebagai panduan kepada guru untuk perancang dan memilih bahan pengajaran yang sesuai dan relevan
           iv.        Membantu guru dalam merancang, memilih dan menentukan strategi pengajaran
            v.        Memberi gambaran yang jelas kepada pelajar, guru, pihak pentadbir dan penyelia apa yang harus pelajar capai di akhir sesuatu pelajaran
           vi.        Memberi bayangan kepada pelajar tentang bentuk penilaian yang akan diberi
          vii.        Membantu pelajar untuk membuat penilaian kemajuan kendiri
         viii.        Membantu guru dalam menyusun atur aktiviti susulan

Penulisan Objektif

Objektif perlakuan yang ditulis perlu mempunyai 3 komponen iaitu :

i.  Perlakuan
Menyatakan, apakah yang pelajar akan buat atau lakukan bila mereka menunjukkan perlakuan objektif.  Adalah penting bagi guru menyatakan jenis perlakuan yang diterima sebagai bukti pelajar tersebut telah menguasai sesuatu objektif.  Sebagai contoh perkataan yang digunakan untuk membuat objektif tingkahlaku ialah seperti memilih, merekabentuk, mengenal pasti, menyenaraikan, menyusun dan lain-lain
  
ii.  Syarat
Keadaan dimana perlakuan itu akan dilakukan, ia boleh terdiri daripada peralatan, bekalan, atau bahan yang diberikan kepada pelajar untuk melakukan sesuatu perlakuan.  Sebagai contoh “dengan membaca petikan yang diberi”.

iii.  Kriteria
Menerangkan paras penguasaan atau kecekapan yang mesti dicapai dalam melakukan perlakuan objektif yang dapat memberikan gambaran bagaimana cara untuk menilai perlakuan pelajar.  Contoh, “dapat memotong kayu dalam masa 10 minit”, “dengan 90% jawapan betul” ,”dengan tepat” .

Contoh objektif perlakuan :
Di akhir pelajaran, pelajar dapat menyenaraikan 5 dari 6 ciri usahawan dengan tepat berdasarakan petikan yang diberikan.

Domain Objektif

i.  Kognitif
Domain yang mengandungi perlakuan yang memerlukan pengetahuan mengenai konsep, prinsip atau ketetapan am.  Contoh, selepas pengajaran pelajar dapat menyenaraikan 10 jenis tanaman hiasan yang terdapat di kawasan sekolah dengan 100% betul

ii.  Afektif
Domain yang melibatkan sikap, perasaan atau kepercayaan.  Dalam domain ini perlakuan agak sukar untuk diukur.  Contoh, selepas demonstrasi pelajar akan menunjukkan kesedaran keselamatan dalam makmal dan melaporkan kepada guru jika ada keadaan yang berbahaya.

iii.  Psikomotor
Domain yang berkaitan dengan kemahiran.  Contoh, selepas tunjuk cara oleh guru pelajar dapat melakukan cantuman tunas dengan betul.

Rumusan penulisan objektif

  • Objektif perlakuan mestilah ditulis untuk pelajar
  • Objektif perlu ditulis dengan ringkas, padat, jelas, jitu dan eksplisit
  • Objektif mestilah sesuai dengan peringkat dan kebolehan pelajar
  • Objektif perlu ditulis degan menggunakan perkataan oerbuatan yang boleh dilakukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkataan-perkataan perlakuan itu tidak mempunyai banyak makna dan boleh dinilai atau diukur
  • Tidak hanya mengkhususkan pada domain kognitif sahaja, tetapi juga melibatkan domain afektif dan psikomotor.
MENENTUKAN ISI PELAJARAN

Isi pelajaran yang perlu dinyatakan dalan Persediaan Mengajar adalah seperti yang dinyatakan mengikut topik-topik tertentu dalam sukatan pelajaran .  Walau bagaimanapun , pemeringkatan isi pelajaran perlulah mengikut kebolehan pelajar dan prinsip-prinsip pembelajaran.  Sebagai contoh pemeringkatan isi pelajaran disusun seperti berikut :
  • Dari konsep yang mudah kepada yang kompleks
  • Dari senang kepada yang mudah
  • Dari yang konkrit kepada yang abstrak
  • Dari konsep sudah ada dalam pengetahuan sedia ada kepada yang belum tahu
  • Relevan dengan objektif yang telah ditentukan
  • Mengikut urutan , teratur, mengikut perkembangan semasa dan
  • Dapat menggalakan penglibatan pelajar secara aktif untuk berfikir secara kritis, analitis dan kreatif
PEMILIHAN SUMBER

Bahan yang digunakan hendaklah sesuai  dengan objektif pelajaran, tahap dan kebolehan pelajar.  Menggunakan bahan yang tekini dan sesuai dengan keadaan setempat, mempelbagaikan penggunaan bahan ( dari gambar pegun kepada penggunaan media elektronik), bahan yang digunakan perlulah cantik , berwarna, menggunakan saiz font yang sesuai dan dapat menarik perhatian pelajar.

PENENTUAN STRATEGI PENYAMPAIAN

Guru disarankan untuk mempelbagikan penggunaan strategi pengajaran.  Walau bagaimanapun, penggunaan strategi berpusatkan pelajar adalah lebih baik digunakan.  Ini adalah untuk memastikan pelajar memperolehi hasil yang maksimum.
Perancangan penentuan strategi akan menggabungjalinkan isi kandungan sukatan pelajaran dengan strategi yang akan digunakan untuk menyampaikan isi tersebut.  Isi pelajaran boleh dipindahkan secara terus daripada guru kepada pelajar dengan pelbagai cara seperti berkuliah, menunjuk cara, bersoal jawab dan latih tubi.  Ataupun isi pelajaran dapat dipindahkan secara tidak langsung dengan menggunakan cara pembelajaran melalui aktiviti kumpulan, simulasi, main peranan, sumbang saran, inkuiri dan penemuan serta lakonan.

Pemilihan strategi pengajaran dan pembelajaran yang mencakupi kaedah dan teknik yang sesuai akan memastikan keberkesanan atau peningkatan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut.  Penentuan kepada strategi yang melibatkan dan yang menambah kemahiran berfikir kepada pelajar perlu ditekankan.  Di samping itu penggabungjalinan kemahiran-kemahiran 3 M ( membaca, menulis dan mengira) perlu juga di ambil kira.

PENGAJARAN MIKRO

Konsep dan Tujuan Pengajaran Mikro

a.  Konsep

Pengajaran mikro digunakan untuk memperihalkan teknik pengajaran untuk membolehkan pelatih atau pelajar menguasai, melatih atau memurnikan kemahiran pengajaran dalam situasi yang dikurangkan dari segi kesukarannya.  Maka dalam melaksanakan pengajaran mikro bilangan pelajar dan peruntukan masa dikurangkan.

b. Tujuan

Pelaksanaan pengajaran mikro akan ;
membekalkan situasi  pengajaran yang realistik kepada guru pelatih
mengurangkan risiko kepada guru dan pelajar
memberi peluang kepada pelatih mengaplikasikan teori pembelajaran
meningkat dan mengembangkan pengalaman pengajaran
menjimatkan masa dan sumber dalam pengajaran dan  menilai kemahiran spesifik

Pelaksanaan Pengajaran Mikro

Dalam melaksanakan pengajaran mikro pelajar membina satu rancangan mengajar yang singkat 5 – 20 minit berdasarkan bidang kepakarannya , membuat objektif spesifik dan mengajarnya kepada sebilangan kecil pelajar lain. Setelah pengajaran telah dilaksanakan satu penilaian atau pencerapan dilakukan untuk mengesan kelemahan . Pencerapan hendaklah dilaksanakan oleh pensyarah atau penyelia, rakan-rakan dan kendiri. Seterusnya satu perancangan semula perlu dilaksanakan untuk tujuan penambahbaikan. Pengajaran mikro merupakan satu kitaran atau satu pusingan seperti yang digambarkan dalam rajah di bawah :


Kemahiran-Kemahiran dalam Pengajaran Mikro

a.  Kemahiran set induksi

Set induksi merupakan satu proses yang digunakan dalam permulaan pengajaran, apabila menukar topik, sebelum soal jawab sebelum pertunjukan slaid atau video dengan tujuan menarik perhatian pelajar dan mendorong pembelajaran.  Prinsip-prinsip set induksi seperti berikut :
  • memfokuskan perhatian pelajar terhadap apa yang hendak di ajar.
  • membentuk satu rangka rujukan semasa pengajaran.
  • memberi makna terhadap sesuatu konsep atau makna baru.
  • merangsang minat dan penglibatan murid.
  • meletakkan murid dalam set mental atau keadaan yang sesuai untuk belajar.
  • menggalakkan pelajar enyertai pelajaran dengan giat.
  • mewujudkan keadaan ingin tahu dikalangan murid.
b.  Kemahiran menggunakan papan tulis

Papan tulis penting dalam meningkatkan pembelajaran pelajar dari segi menjelaskan lagi penerangan guru tentang fakta, konsep atau idea yang abstrak.  Oleh itu racangkan bagaimana penggunaan papan tulis dari segi masa, pembahagian ruang dan penglibatan pelajar.

c.  Kemahiran variasi ransangan

Kemahiran ini adalah untuk membangkitkan perhatian pelajar dan mefokuskan perhatian pelajar kepada fakta penting dalam pelajaran.  Variasi ransangan berkait rapat dengan kebijaksanaan guru pelatih mempelbagaikan strategi pengajaran, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar , persekitaran bilik darjah, komunikasi verbal dan non-verbal guru.

d.    Kemahiran penyoalan

Penyoalan merupakan satu aspek penting yang boleh mebawa pelajar kepada aktiviti kognitif aras tinggi.  Oleh itu guru harus faham dan tahu tentang kepentingan soalan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti membantu pelajar mengingat kembali fakta-fakta dan mencungkil fikiran pelajar.  Soalan yang dibentuk hendaklah dirancang dengan rapi dan mengikut kebolehan pelajar

i.  Panduan menyoal
·         pastikan soalan jelas
·  nyatakan soalan, tunggu 2-3 saat dan kemudian panggil nama pelajar yang dikehendaki menjawab soalan berkenaan
·         tanya satu soalan pada satu masa
·         gunakan soalan arar rendah dahulu dan diikuti dengan soalan  aras yang lebih tinggi
·         gunakan teknik “probing” untuk membantu pelajar memberikan jawapan.

ii.  Aras soalan
Berdasarkan taksonomi Bloom terdapat 6 aras soalan :
·         Pengetahuan
·         Kefahaman
·         Aplikasi
·         Analisis
·         Sintesis
·         Penilaian

e.     Kemahiran menggunakan pengukuhan

Guru yang mempunyai kemahiran pengukuhan dapat menggalak pelajar menjawab soalan, mengemukakan cadangan dan secara keseluruhannya dapat melibatkan pelajar melibatkan diri dalam perbincangan bilik darjah.

f.     Kemahiran penutup

Penutup haruslah sesuai dengan objektif dan aktiviti pelajaran yang telah disampaikan.  Semasa penutup ini aktiviti susulan juga harus dirancang dengan teliti  dan ada kesinambungan dengan pelajaran akan datang.  Di samping itu tujuan penutup adalah untuk menarik perhatian perhatian pelajar tentang pelajaran baru yang dipelajari, mengukuhkan konsep, prinsip atau kemahiran baru, mewujudkan perasaan pencapaian dan kejayaan dan peluang mengaplikasi konsep dan kemahiran baru.



Ahad, 11 Disember 2011

Lembaran kerja Bahasa Melayu

LEMBARAN KERJA BAHASA MELAYU



  • Suku kata KV + KVK                                              - Klik SINI
  • Membaca rangkai kata                                          - Klik SINI
  • Cari Perkataan Tersembunyi                                  - Klik SINI
  • Bacaan dan Pemahaman ( teks mudah )                   - Klik SINI
  • Memadankan Abjad                                              - Klik SINI
  • Bacaan dan Pemahaman tahap 2                             - Klik SINI
  • Suku Kata Terbuka  KV + KV                                   - Klik SINI
  • ABM Bergambar KV + KV + KV                                 - Klik SINI
  • Permainan Bahasa                                                 - Klik SINI
  • Suku Kata KV + KVK1                                             - Klik SINI


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More