Selasa, 29 November 2011

Diari Refleksi ( MIKROPENGAJARAN)

MIKROPENGAJARAN





1.0 REFLEKSI PEMBELAJARAN MIKROPENGAJARAN

1.1 KEKUATAN

   Dalam mikropengajaran yang telah diljalankan saya memilih untuk melaksanakan kemahiran dalam Langkah 1. Secara keseluruhannya, objektif pembelajaran tercapai berdasarkan respon dan jawapan yang diberikan oleh murid. 85% peratus iaitu 28 daripada 33 orang murid dapat mencapai objektif pembelajaran. Kawalan kelas dapat dilaksanakan dengan baik. Walaupun keadaan persekitaran murid kurang kondusif untuk sesi pembelajaran kerana bilik kelas terletak berdekatan dengan dapur dan dewan makan, namun murid masih fokus dengan pembelajaran. Murid secara holistiknya dapat mengikut pembelajaran dengan baik dan teratur. Isi pelajaran dan kemahiran yang hendak disampaikan sesuai dan dapat diikuti oleh murid. Tambahan pula, isi pelajaran yang disampaikan melibatkan pengetahuan sedia ada murid mengenai buah-buahan seperti warna, bentuk, dan jenis buah. Penerapan nilai murni berdasarkan situasi murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti yang dirancang. Alat bantu mengajar atau bahan bantu mengajar dapat menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran. Saya turut menyelitkan unsur kecindan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi menarik tumpuan murid supaya mereka tidak bosan dan lalai. Penglibatan murid secara keseluruhannya aktif dan memberangsangkan. Murid dapat dan mahu mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran, malah murid yang lemah turut terlibat dengan bantuan rakan.

1.2 KELEMAHAN
   
    Kelemahan yang jelas dalam sesi mikropengajaran saya ialah mengenai arahan yang diberikan kepada murid. Sebagai contoh, saya meminta murid membina ayat dalam tempoh masa lima minit untuk satu ayat. Sehubungan dengan itu juga, arahan yang diberikan kurang jelas dan murid yang lemah menjadi keliru dengan arahan. Malah, saya menghadapi masalah dalam menyediakan murid untuk mengikuti aktiviti menulis ayat di lembaran yang disediakan memandangkan murid ada yang tidak membawa alat tulis.

1.3 CARA MENGATASI/PENAMBAHBAIKAN

   Penambaikan perlu dibuat dari aspek alat bantu mengajar dan isi pelajaran agar lebih menarik dan mencabar minda murid. Murid juga perlu menyentuh dan menggunakan alat bantu mengajar atau bahan bantu mengajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung agar memberi pengalaman dan pengetahuan kepada murid. Tambahan pula, dengan berbuat demikian , kita dapat membantu murid menggunakan kesemua pancainderanya dalam pembelajaran supaya wujud pembelajaran berkesan. Sehubungan dengan itu, saya perlu merancang dan menguasai arahan yang ingin diberikan kepada murid supaya sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Murid akan lebih terpimpin dan mampu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara berkesan dan menyeronokan serta terancang.

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More