Isnin, 28 November 2011

Masalah dalam pengajaran dan pembelajaran

Beberapa Masalah dalam Pengajaran Bahasa Malaysia

1.1   Pengenalan

Pengajaran, pembelajaran, dan penguasaan bahasa Malaysia yang sempurna adalah penting bagi para pelajar. Tanpa penguasaan bahasa yang sempurna, seluruh proses pembelajaran yang menggunakan bahasa Malaysia akan menjadi hambar. Perkara ini perlu ditinjau sebab, walaupun pengajaran bahasa Malaysia pada hari ini dapat dikatakan baik pada keseluruhannya, tetapi masih ada kelemahan-kelemahan yang boleh dibaiki.Perkara ini dapat dilihat dari enam segi: proses pengajaran dan pembelajaran, sikap (nilai dan dasar), dorongan dalam pembelajaran, beberapa masalah yang menyebabkan kegagalan, dan beberapa masalah guru dalam mengajar.

1.2 Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Proses pengajaran dan pembelajaran adalah berlainan sekiranya pelajar mempelajari bahasa kandung atau bahasa kedua.

1.2.1 Pembelajaran Bahasa Malaysia oleh Orang Melayu

Secara umum dapat dikatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu telah pun menguasai sebutan, tatabahasa, dan makna kosa kata bahasa Malaysia semasa mereka masuk ke sekolah. Jadi, apa yang mereka perlukan bukannya pengajaran tentang perkara-perkara asas dalam bahasa itu, tetapi tumpuan harus diberikan kepada pengukuhan bahasanya dan pengayaan kosa katanya. Tatabahasa yang diajarkan bukanlah bertujuan mengajarkan bahasa kepada mereka, tetapi bertujuan memperkukuh dan memperkaya bahasa yang sudah dikuasai mereka. Di samping itu, pembelajaran peribahasa yang betul adalah penting bagi membolehkan mereka memahami kemampuan atau potensi bahasa itu dalam membuat ungkapan. Di juga memerlukan bimbingan dalam mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia yang digunakan dalam bidang ilmu, iaitu, mereka perlu menguasai bahasa Malaysia baku dan rasmi.

1.2.2 Pembelajaran Bahasa Malaysia oleh Orang Bukan Melayu

Sekali imbas kita lihat ada perbezaan besar antara keperluan pelajar Melayu dengan keperluan pelajar bukan Melayu. Pelajar bukan Melayu yang tidak menuturkan bahasa Malaysia di rumah, perlu mempelajari segala-galanya. Mereka perlu mempelajari sebutan, tatabahasa, dan kosa kata bahasa Malaysia. Sama ada apa yang dilakukan sekarang ini sesuai dengan keadaan ini, adalah suatu yang harus dapat kita amati bersama. Pengajaran bunyi, sebutan, dan intonasi bahasa Malaysia hampir-hampir tidak wujud langsung dalam pengajaran bahasa Malaysia di sekolah rendah hari ini. Pengajaran tatabahasa pula adalah sesuatu yang masih boleh diperkemas lagi. Sebahagian daripada akibat yang berlaku dapat dilihat apabila terdapat kesan langsung dalam kepincangan sebutan, tatabahasa, dan pemakaian kata bahasa Malaysia tersebut.

1.2.3 Kaedah Mengajar dan menguji

Oleh sebab latar belakang dan keperluan pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu ternyata berlainan, maka jelaslah bahawa keadaan pengajaran bahasa Malaysia kepada mereka seharusnya juga berbeza. Mengajar dan menguji kedua-dua golongan pelajar dengan kaedah yang sama akan hanya menyulitkan mereka dan kurangnya kesan penerimaan pelajaran. Keadaan ini berlanjutan seolah-olah hakikat ini tidak penting sama sekali.

1.3 Sikap: Nilai dan Dasar

Ada dua perkara berhubung dengan sikap, iaitu: nilai dan dasar.

1.3.1 Nilai

Sikap juga penting dalam mengajarkan bahasa Malaysia. Umumnya, ada guru yang menganggap tugas mengajarkan bahasa Malaysia itu sebagai mudah. Bahkan sikap pentadbir juga demikian, sebab kalau berlaku kekurangan guru bahasa Malaysia, siapa sahaja dianggap boleh menjalankan tugas tersebut. Sehingga tahun 1980 belum ada sebuah kursus yang menumpukan perhatian kepada pengajaran bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama atau kedua di mana-mana. Hanya sekarang kursus tersebut diajarkan di universiti-universiti tempatan. Sebenarnya, bahasa Malaysia itu amat sukar dipelajari. Nampaknya sahaja mudah, tetapi amat sukar untuk dikuasai sepenuhnya. Jadi, bahasa Malaysia itu memang amat sukar dipelajari untuk menjadi betul-betul mahir. Buktinya nyata sekali, kerana tidak ramai pelajar yang diajar melalui sistem sekolah kita sekarang menjadi mahir. Selepas 13 tahun di sekolah, rata-rata dapat dikatakan mereka belum betul-betul dapat menggunakan bahasa Malaysia itu dengan berkesan. Walau bagaimanapun, ada tanda-tanda kemajuan dalam hal ini, pada akhir-akhir ini. Peningkatan kemahiran dalam bahasa Malaysia ini amatlah menggalakkan dari segi penyuburan bahasa.Sikap orang bukan Melayu pula agak berlainan. Ada juga antara mereka yang memandang senang terhadap pembelajaran bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia ini juga kadang-kadang dirasakan tidak perlu sebab bahasa Inggeris dianggap lebih penting. Bahasa Inggeris mempunyai nilai ekonomi yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi dalam bidang swasta. Nilai ekonomi yang rendah yang diberikan kepada bahasa Malaysia mungkin menyebabkan sikap ini berlaku. Bahasa Inggeris memang menduduki tempat istimewa sebagai bahasa hubungan antarabangsa, dan justeru itu, bahasa Inggeris perlu dikekalkan. Tetapi hubungan psikologi kita yang amat rapat dengan bahasa tersebut menyebabkan sanjungan kita agak luar biasa tingginya terhadap bahasa itu.

1.3.2 Dasar

Ada satu lagi hal yang kerap dapat kita perhatikan di kalangan orang-orang Malaysia yang berada, atau mereka yang berkemampuan, sama ada orang biasa atau pegawai kerajaan. Oleh sebab faktor-faktor tertentu, ramai antara mereka yang menghantar anak-anak mereka belajar ke negara lain, lebih-lebih lagi ke negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Ini mungkin timbul daripada hakikat bahawa ada antara mereka yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi di dalam negara ini, maka mereka terpaksa pergi ke negara lain. Ini baik, sekurang-kurangnya mereka akan mendapat pelajaran walaupun terdapat kekurangan tempat belajar di dalam negara.
Perkara yang membimbangkan ialah apabila tindakan mereka itu kerana kurang percaya kepada institusi-institusi tempatan. Lebih buruk lagi apabila mereka menghantar anak mereka ke negara lain sejak kecil lagi, iaitu pada peringkat sekolah menengah, bahkan ada pula yang menghantar anak mereka pada peringkat sekolah rendah lagi. Ada yang berbuat begitu kerana tidak menyetujui dasar yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Malaysia. Ini biasa dikatakan akan menurunkan mutu pendidikan mereka.
Di samping itu, ramai antara mereka bersungut yang bahasa Inggeris telah turun mutunya, maka mereka menghantar anak-anak mereka ke negara lain. Ini memang benar, bahasa Inggeris sekarang hanya menjadi bahasa kedua atau bahasa asing, jadi tentulah tidak akan sama taraf pencapaiannya dengan bahasa Inggeris dahulu. Hakikat ini perlu diterima. Kementerian Pendidikan perlulah menimbulkan keyakinan semua rakyat tentang hal ini.

1.4 Dorongan dalam Pembelajaran

Dorongan diketahui bahawa untuk membolehkan pembelajaran berlaku dengan berkesan, maka pelajar-pelajar memerlukan dorongan. Dorongan untuk belajar ini timbul daripada beberapa tujuan. Misalnya, ada orang belajar bahasa untuk melancong, ada untuk mendapatkan kerakyatan, dan ada pula yang ingin melanjutkan pelajaran. Jadi, apakah tujuan murid mempelajari bahasa Malaysia itu di samping memenuhi keperluannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah? Kita bincangkan perkara ini dari tiga aspek: mendapatkan pekerjaan, mendapatkan tempat di pusat pengajian tinggi, dan status bahasa dalam masyarakat.

1.4.1 Mendapatkan Pekerjaan

Tujuan untuk mendapatkan pekerjaan memang wajar. Sejak kelulusan dalam bahasa Malaysia dengan kepujian pada peringkat Sijil Persekolahan Malaysia dijadikan syarat lulus peperiksaan dan mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan, maka satu nilai yang tinggi telah ada pada bahasa Malaysia. Orang telah berlumba-lumba untuk lulus peperiksaan bahasa Malaysia untuk tujuan ini. Walaupun demikian, syarat ini tidak dikehendaki di badan-badan swasta menyebabkan mereka yang tidak lulus juga terus boleh mendapatkan pekerjaan. Jadi, walaupun bahasa Malaysia diberi nilai tinggi pada satu pihak, tetapi oleh sebab ada jalan keluar bagi mereka yang tidak mendapat kelayakan tersebut maka, pencapaian tujuan tersebut tidaklah mendapat tujuan mutlak untuk semua orang.

1.4.2 Mendapatkan Tempat di Pusat Pengajian Tinggi

Oleh sebab semua institusi pengajian tinggi di Malaysia hari ini menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, maka amatlah penting pelajar-pelajar mencapai kemahiran dalam bahasa Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke maktab, politeknik, dan universiti. Mungkin ini adalah cara yang agak berkesan dalam melaksanakan penggunaan bahasa Malaysia sebagai pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Dasar ini bukan sahaja menjamin supaya pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan untuk belajar di universiti-universiti tetapi juga memberi suatu makna dan kepentingan kepada bahasa kebangsaan kita. Ini perlu untuk menjamin kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, lebih-lebih lagi apabila bersaing degan bahasa Inggeris. Di samping itu, peraturan ini dapat menimbulkan dorongan yang kuat bagi pelajar-pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan. Ini tidaklah asing daripada dorongan yang tinggi yang dipunyai oleh seorang yang belajar bahasa Inggeris supaya dapat belajar di Britain, atau bahasa Jerman untuk belajar di negara Jerman dan sebagainya.

1.4.3 Status Bahasa dalam Masyarakat

Masyarakat memang sentiasa memberi taraf tertentu kepada sesuatu bahasa. Tidak sukar untuk kita memahami hal ini. Kita tahu bahawa bahasa Inggeris itu bertaraf tinggi maka kita boleh melihat sikap ahli-ahli masyarakat dalam menggunakannya. Kita mengasosiasikan diri dengan bahasa itu, sekurang-kurangnya sebahagian daripada bahasa itu. Misalnya, seseorang yang baru pulang dari negara Inggeris atau Amerika. Bahkan ada pula yang bertutur bahasa Inggeris pelat Inggeris untuk menunjukkan asosiasinya dengan imej bahasa negara tersebut. Dengan berbuat begitu, di menganggap akan disamatarafkan dengan orang Inggeris atau Amerika. Begitu juga dengan bahasa Arab, ada taraf yang diberikan oleh masyarakat Melayu kepada bahasa Arab. Jadi memang orang Melayu yang belajar di Makkah atau di Mesir dianggap akan mengasosiasikan dirinya dengan dunia dan bahasa Arab. Mungkin mereka tidak menyebut kata-kata bahasa Malaysia pelat Arab, tetapi mereka akan melafazkan kata-kata bahasa Arab yang telah lama dipinjam oleh orang Melayu sebagai lafaz orang Arab. Misalnya, orang biasa akan berkata hari Senen, tetapi mereka akan menyebut Ithnin, dan Zuhur untuk loho’, Asar untuk asa, dan sebagainya. Yang anehnya pula, kalau orang itu pulang setelah belajar di India selama beberapa tahun, mereka tidak pernah menunjukkan pelat India itu dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia mereka. Ini mungkin kerana India tidak diberi taraf atau imej yang sama.Jadi, apa yang penting di sini ialah, apakah bahasa Malaysia itu dapat memberi mereka taraf demikian? Bermegahkah mereka kalau dilihat atau didengar menuturkan bahasa Malaysia dengan fasih dan lancar? Mungkin juga. Dorongan seperti ini telah mula ada, tetapi masih jauh ke belakang berbanding dengan taraf bahasa Inggeris di kalangan masyarakat umum.

1.5 Beberapa Masalah Menyebabkan Kegagalan

Walaupun dikatakan di atas bahawa pengajaran bahasa Malaysia pada keseluruhannya memuaskan, tetapi tidaklah dapat dikatakan tidak ada masalahnya. Ada beberapa kegagalan umum yang dapat dilihat. Ini harus diperhatikan sebagai satu kritikan untuk mencari penyelesaian dan bukan untuk tujuan negatif. Kegagalan-kegagalan ini dilihat dari semua aspek penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, ayat, kata, intonasi, dan peribahasa.

1.5.1 Sebutan

Sebutan menghadapi dua jenis masalah, pertama, masalah dalam bahasa Malaysia itu sendiri dan kedua masalah dari luar. Dari dalam bahasa Malaysia sendiri, terdapat masalah menentukan sebutan baku berbanding dengan sebutan dialek. Sebenarnya kontroversi ini tidak besar. Sebutan kata-kata bahasa Malaysia memang tidak banyak berbeza, yang menjadi perbalahan ialah pada bunyi a di suku kata akhir terbuka, sama ada patut diucapkan a atau e. Ini masalah kecil, tetapi pendokong bunyi a sentiasa mahu melaksanakan ini tanpa kecuali. Tetapi sikap rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Penerangan (Radio dan Televisyen Malaysia) ialah menerima kedua-duanya a dan e sebagai kelainan yang boleh bertukar ganti. Tidak ada masalah sebutan lain yang boleh dianggap terlalu rumit.Di samping itu terdapat pula kesalahan sebutan di kalangan penutur bukan Melayu untuk kata-kata seperti rume (rumah), datu (datuk), kulang (kurang), ba-niak (banyak), dan sebagainya. Daerah morfologi juga menimbulkan masalah bagi mereka, umpamanya dalam menyebut kata-kata seperti: peng-arah (pengarah), meletak-an (meletakkan), pakai-an (pakai-yan), dan sebagainya.
Masalah kedua, timbul daripada unsur-unsur bahasa asing. Oleh sebab kebanyakan kita agak terlalu biasa dengan bunyi-bunyi Inggeris, maka apabila kita membawa masuk kata-kata tersebut ke dalam bahasa Malaysia, misalnya bus yang dibunyikan bas, maka kita membunyikannya juga sebagai bas. Tetapi bahasa Inggeris juga tidak konsisten, misalnya, put (disebut put) dan but (disebut bat), put bukan pat. Kebanyakan kita tidak menyedari yang kekacauan ini wujud dalam bahasa Inggeris, dan terbawa-bawa ke dalam bahasa Malaysia. Oleh sebab itu ejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia, kebanyakannya mengekalkan ejaannya, tetapi kita membunyikan huruf-huruf yang digunakan seperti dalam bahasa Malaysia. Kalau kita lihat kebalikannya, orang Inggeris pun ada meminjam kata-kata daripada bahasa Malaysia seperti kampung, orang utan, rotan, tetapi memberi sebutan sendiri kepada kata-kata ini dan membunyikannya sebagai kempong, oreng uteng, reten, dan sebagainya. Prinsipnya kita hendaklah membunyikan kata-kata pinjaman itu menurut sistem bunyi bahasa Malaysia sendiri.

1.5.2 Ejaan

Sebelum ejaan baharu diumumkan, Ejaan Sekolah yang didasarkan kepada Ejaan Wilkinson (1904) dan dibaiki oleh Za’ba (1938) telah digunakan. Sistem ini cukup untuk keperluan bahasa Melayu untuk beberapa lama, tetapi menjelang tahun 60-an, kekurangannya mula ketara (S.T. Alisjahbana 1965). Hal ini bukan sahaja menjadi masalah kepada penutur bahasa Melayu, tetapi juga kepada proses pembelajarannya. Ejaan Sekolah tidak konsisten pada beberapa tempat.
Ejaan memang banyak masalahnya. Masalah ini tidaklah harus dikatakan timbul daripada ejaan baharu. Ejaan bahru itu terlalu mudah untuk dianggap sebagai suatu masalah. Lagipun, sudah ada Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Seharusnya sudah tidak ada masalah ejaan lagi. Ejaan itu telah digunakan selama lebih sepuluh tahun, maka sepatutnya perkara ini tidak lagi menjadi masalah. Ada kata yang selalu salah dieja seperti bolih (untuk boleh), goring (untuk goreng), ke- dalam (untuk ke dalam), dibawah (untuk di bawah), dan sebagainya. Kesalahan ejaan ini timbul hanya kerana kejahilan sahaja, dan orang tidak mahu membaiki keadaan ini. Aspek kedua kesalahan ejaan ialah bahawa ada ejaan-ejaan yang berubah untuk penyelarasan seperti teladan menjadi teladan, aneh menjadi aneh, dan sebagainya. Sebenarnya tindakan seperti ini tidak perlu dibuat sebab ejaan yang sudah mantap tidak harus diubah lagi. Walau bagaimanapun, demi keseragaman ejaan yang dicadangkan itu perlulah diikuti.Ejaan kata-kata pinjaman merupakan satu masalah lain. Dasar yang dikuatkuasakan ialah untuk memudahkan pembelajaran, huruf yang tertentu sahaja ditukar, iaitu bunyi yang tidak berfungsi, atau bunyi-bunyi yang tidak konsisten dalam bahasa Inggeris. Misalnya, huruf eo dalam homogeneous boleh digugurkan. Huruf ch dalam cholera sebenarnya berbunyi k dan bukan c seperti dalam cent dan chalk. Ini tidak konsisten. Oleh sebab ejaannya diutamakan, maka ia disesuaikan menjadi kolera. Inilah yang sering dikatakan menjadi masalah dalam ejaan apabila pengguna bahasa Malaysia mengelirukan sistem bahasa Malaysia dengan sistem bahasa Inggeris.Memang sukar mengubah kebiasaan 14 juta manusia dalam menggunakan ejaan ini. Lebih rumit lagi jadinya masalah ini apabila hal-hal agam terlibat. Penulisan kata-kata istilah Arab boleh menimbulkan kerumitan. Misalnya, ejaan baharu bagi ni’mat ialah nikmat, dan dengan itu mengubah makna kata itu daripada sesuatu yang baik kepada yang buruk. Memang hal ini harus diberi perhatian yang agak serius supaya kekacauan tersebut tidak mengganggu perkembangan bahasa Malaysia umumnya.

1.5.3 Imbuhan

Imbuhan juga sering menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi dalam pemakaian -kan, me-, di-, dan ber-. Misalnya, -kan dipakai pada tempat yang tidak perlu seperti Saya membelikan buku (-kan tidak perlu kerana beli sudah transitif), atau sebaliknya -kan tidak dipakai seperti dalam mengguna dan membenar (-kan diperlukan supaya kata kerja tersebut menjadi transitif).Dalam peringkat kata, kesalahan tatabahasa kerap dilakukan dalam penggunaan imbuhan. Kalau diperhatikan pula betul-betul, maka akan didapati satu perkara yang betul-betul sukar kita fahami, iaitu: jumlah imbuhan yang ada dalam bahasa Malaysia adalah amat sedikit bilangannya. Ada tujuh bilangan imbuhan yang sedikit ini sangat sukar dipelajari dan digunakan dengan tepat, manakala, kita mungkin berpendapat bahawa bilangan yang sedikit harus memudahkan pembelajaran.Kerap pula terjadi kisah kanak-kanak penutur kandung bahasa Malaysia yang telah menguasai pemakaian imbuhan dengan biak di rumah atau dalam lingkungan keluarganya, tetapi telah dikelirukan oleh guru yang tidak mahir apabila dia mula bersekolah. Fungsi guru yang sepatutnya memperkukuh penguasaan tatabahasa kanak-kanak itu telah bertukar menjadi pengacauan. Bagi kanak-kanak yang tidak menuturkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung akan terus terpesong dalam memakai imbuhan. Setiap satu imbuhan kata kerja dalam bahasa Malaysia itu mempunyai masalah masing-masing. Pengacauan imbuhan yang terdapat bagi kanak-kanak penutur kandung bahasa Malaysia ialah kesalahan-kesalahan tertentu.Ada beberapa jenis kesalahan yang sering saya temui. Pada hakikatnya, seseorang guru itu mungkin tidak memahami bahawa fungsi tatabahasa sesuatu imbuhan itu sudah sedia ada dalam setengah-setengah kata. Oleh itu kata-kata tersebut tidak perlu diberi imbuhan lagi untuk menunjukkan fungsi tatabahasa tersebut. Kesalahan yang sering berlaku ialah dalam penggunaan imbuhan ber- atau me- pada kata dasar yang tidak memerlukannya; seperti ber- duduk (untuk duduk), bertimbul (untuk timbul), berbangun (untuk bangun), menjalan (untuk berjalan), menurun (untuk turun), dan memindah (untuk berpindah). Jadi kerap terdapat ayat seperti: Dia berduduk di atas kerusi, Dia telah memindah rumah, Dia menurun bas. Pada pihak yang lain pula, selalu terdapat masalah yang berhubungan dengan imbuhan -kan. Hal ini berlaku kepada penutur kandung bahasa Malaysia. Maka terdapatlah ayat seperti Guru mengguna kapur (untuk Guru menggunakan kapur), Ibu memakai seluar untuk Fadil (untuk Ibu memakaikan seluar untuk Fadil), dan Air hujan itu membasah kainnya (untuk Air hujan itu membasahi kainnya). Dalam hal ini, apa yang berlaku ialah imbuhan per-, -kan dan -i digugurkan. Ini adalah tabiat pelajar-pelajar dan guru-guru yang terdiri daripada penutur bahasa Malaysia. Dalam bahasa pertuturan, ada unsur-unsur tertentu yang boleh digugurkan (sebab ketiadaannya ditampung oleh unsur lain) atau telah jelas dari konteks itu sendiri. Dalam bahasa tulisan per-, -kan, dan -i itu perlu ada. Ini menjelaskan bahawa mereka mungkin tidak memahami bahawa imbuhan per, -kan, dan -i itu sebenarnya mempunyai fungsi tatabahasa yang tidak boleh ditampung oleh me- sahaja.
Satu lagi kesalahan imbuhan yang agak lebih rumit ialah dari segi pemakaian per-, kan, dan -i. Perkara yang selalu berlaku di sini ialah ketiga-tiga imbuhan ini dipakai dengan tidak mengetahui perbezaan makna dan fungsi tatabahasanya. Jadi terdapatlah kesalahan seperti Ahmad menuruni bas (untuk Ahmad turun dari bas), Ahmad menaikan motokar (untuk Ahmad menaiki motokar), dan Sila masuki perkara ini dalam perbincangan (untuk Sila masukkan perkara ini ke dalam perbincangan).Satu lagi imbuhan yang kerap salah digunakan, ialah -kan. Hal ini berlaku kerana pelajar tidak mengenali perbezaan antara imbuhan -kan dengan -an. Akibatnya, mereka selalu menggunakan -an untuk -kan. Kesalahan ini terlalu besar untuk dimaafkan, contohnya: meletakan (untuk meletakkan), dan membetulan (untuk membetulkan). Kebalikannya juga benar, lebih-lebih lagi apabila dasarnya berakhir dengan k seperti dalam masakkan (untuk masakan) dan kerosakkan (untuk kerosakan). Perkara seperti ini patutlah diambil berat dan dibetulkan.Dalam contoh lain, terdapat pula pelajar Melayu yang tidak mengenali perbezaan antara pe- (pesakit ‘orang sakit’), peny (penyakit ‘perkara yang menyakitkan’), dan per- (persakit ‘perbuatan menyakitkan’). Pernah saya temui guru berkelulusan universiti yang tidak mengetahui bahawa ketiga-tiga imbuhan ini berlainan. Mungkin asalnya satu, tetapi sekarang jelas bahawa ada perbezaan bentuk dan fungsi antara pe-, penye-, dan per-. Ini perlu difahami.Perkara yang lebih merunsingkan ialah apabila terdapat kata-kata pendekan daripada akhbar menular masuk ke dalam kelas. Dalam akhbar, imbuhan ke-…-an, peN-…-an sering menjadi -an sahaja. Kerap terdapat putusan STPM, libatan dan ini semakin banyak digunakan dalam bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah. Dari satu segi lain terdapat juga -an digunakan oleh pelajar bukan Melayu seperti: di kalang (untuk di kalangan).
Unsur gandaan juga kerap menjadi kekeliruan. Sebenarnya sebarang kata nama bahasa Malaysia itu boleh difahamkan sebagai satu atau lebih. Biasanya bilangan ini ditandai oleh penjodoh bilangan berserta angka dan bukan dengan gandaan seperti yang selalu dilakukan. Misalnya, dua orang pelajar, bukan dua (orang) pelajar-pelajar, (kerap pula penjodoh bilangan itu digugurkan). Pemakaian ganda ini telah kusut jadinya sehingga digunakan di tempat yang tidak perlu seperti buku-buku sekolah, rumah-rumah murah, padahal buku sekolah dan rumah murah sudah cukup lengkap menunjukkan banyak.

1.5.4 Ayat

Masalah struktur ayat juga agak sering berlaku. Peminjaman struktur ayat-ayat Inggeris, Arab dan sebagainya memang kerap ditemui seperti dalam kes pandai orang, besar rumah, dan sebagainya. Tetapi yang agak menarik ialah kesalahan seperti Apakah ialah nama ibu negeri Perak? Di sini ternyata bahawa ialah itu adalah terjemahan unsur is dalam ayat What is the capital of Perak? Hal ini adalah suatu perkara yang tidak perlu berlaku, melainkan orang yang terlibat itu tidak memahami sepenuhnya bahawa ayat bahasa Malaysia tidak memerlukan unsur kopula is (ialah) itu.Satu lagi kesalahan pada peringkat ayat ialah penggunaan penutup frasa seperti itu dalam ayat seperti Menteri itu yang baru pulang…, selalu terdengar dalam pembacaan berita Radio dan Televisyen Malaysia. Itu adalah unsur penutup frasa seperti dalam Menteri yang baru pulang itu, dan sebagainya. Ini adalah kesalahan-kesalahan yang agak meluas dan seharusnya boleh diperbetulkan.
Selalu pula terdapat kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan ayat bangun kena membuat (pasif) seperti: Pencabulan tentera Soviet oleh Afghanistan. Pencabulan itulah yang dilakukan oleh tentera Soviet terhadap Afghanistan dan bukan sebaliknya. Memang di sini ada ternyata gara-gara pengaruh unsur-unsur bahasa asing dalam bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi apabila orang itu lebih mahir dalam bahasa asing itu dan tidak pernah belajar bahasa Malaysia secara formal (dan tidak mengenali sistem tatabahasa).

1.5.5 Kata

Penggunaan kata-kata tertentu dalam pertuturan sehari-hari juga menunjukkan beberapa kesalahan. Selalu juga terdapat kata-kata yang salah digunakan seperti: Tukang Jahit Wanita (Tukang Jahit Pakaian Wanita), Kedai Makan Melayu (Kedai Makanan Melayu), mengambil ubat (memakan ubat), dan sebagainya.

1.5.6 Intonasi

Intonasi adalah suatu masalah yang sering juga berlaku. Intonasi Inggeris, Cina atau India kerap digunakan dalam ayat-ayat bahasa Malaysia. Kajian lanjut dan meluas perlu dijalankan untuk mengetahui peringkat dan had kesalahan ini.

1.5.7 Peribahasa

Peribahasa bahasa asing sering digunakan dalam bahasa Malaysia. Misalnya, akan meninggikan kenamaan universiti, (untuk meningkatkan nama baik universiti), dan ‘sampai menjilat jari’ (untuk terlalu sedap, ungkapan menjilat jari ini tidak wujud dalam bahasa Malaysia). Perbuatan menjilat jari untuk menunjukkan sedap agaknya wujud dalam budaya Inggeris. Dalam budaya Melayu, perbuatan begini tidak sopan.
Kejahilan tentang budaya juga selalu menimbulkan kesalahan dalam bahasa Malaysia. Ada kata-kata yang penuh dengan unsur budaya. Salah satu daripada kata jenis ini ialah ganti nama, seperti panggilan kakak, mak cik untuk menggantikan nama. Mereka yang tidak faham budaya Melayu akan salah menggunakan ganti nama kakak atau mak cik terhadap seseorang wanita, walaupun wanita itu lebih muda daripadanya. Ini hanya menunjukkan dia tidak faham makna kata-kata tersebut awak dan kamu hendaklah kena pada tempatnya. Penggunaan ganti nama aku (tidak hormat) juga digunakan oleh pelajar bukan Melayu, walaupun mereka bertutur dengan guru dan pensyarah. Begitu juga dengan kata-kata hormat yang salah digunakan. Sila hanya untuk hormat dalam konteks positif sahaja. Misalnya, tidak boleh dikatakan sila jangan berdiri; yang boleh hanya sila berdiri atau jangan berdiri.Ada banyak peribahasa asing yang dipinjam ke dalam bahasa Malaysia, ada yang cocok dan ada yang janggal. Kita harus berhati-hati dalam hal ini sebelum yang janggal itu menjadi terlalu biasa dan tidak dapat ditentukan lagi tarafnya. Kadang-kandang ungkapan bahasa Malaysia lebih pendek dan tepat tetapi kita sering kurang teliti, misalnya: Tetamu dipersilakan duduk (bukan mengambil ‘tempat dudu’); dibuka siang malam (bukan ‘dibuka 24 jam’). Ini jelas menunjukkan ciri-ciri bahasa Inggeris telah menular ke dalam bahasa Malaysia. Dengan kata lain, pengajaran bahasa Malaysia hari ini kadang-kadang tidak memberi perhatian terhadap hal-hal budaya ini.

1.6 Masalah Guru dalam Mengajar

Dengan keadaan masalah yang dinyatakan di atas ternyata ada banyak masalah yang mencabar guru bahasa Malaysia. Pertama, ketiadaan model pembelajaran, kedua, aspek-aspek bahasa, dan aspek-aspek bukan bahasa. dalam keadaan begini guru terpaksalah menjadi model kepada pelajar-pelajar.
1.6.1 Model dan Buku Teks
Suatu masalah besar yang dihadapi oleh guru ialah dari segi model yang dapat dicontohi dan buku-buku teks yang boleh digunakan untuk pembelajaran. Bahasa yang digunakan dalam buku teks itu adalah bahasa rasmi. Jadi model juga adalah satu masalah. model itu bermaksud bahasa yang dituturkan oleh mana-mana orang atau kelompok orang yang boleh dijadikan contoh. Tidak ramai orang yang boleh dijadikan contoh demikian. Jadi dalam ketiadaan contoh, maka sukarlah pelajar-pelajar tersebut memahami dan menuturkan apa yang dipelajari.

1.6.2 Aspek-Aspek Bahasa

Ada aspek-aspek bahasa yang masih merupakan masalah bagi guru. Yang jelas merupakan masalah ialah ketiadaan sebuah buku tatabahasa pegangan. Tatabahasa yang ada sekarang, jelas menunjukkan bahawa ada unsur-unsur yang masih kacau atau penjelasan yang berlainan antara pengarang-pengarang tatabahasa. Kedua, buku-buku tatabahasa yang ada sekarang berdasarkan bahasa Melayu dahulu jadi suatu usaha pengemaskinian perlu dilakukan. Suatu tatabahasa pegangan perlu disediakan segera untuk menampung keperluan ini. Buku, Nahu Melayu Mutakhir (Asmah 1980) dan Tatabahasa Dewan, Jld. I, Ayat (Nik Safiah et al., 1986) telah diterbitkan dan harus dapat membantu menghapuskan masalah ini.

1.6.3 Aspek Bukan Bahasa

Masalah bukan bahasa yang terlibat sering melibatkan masalah ganti nama, sopan atau tidak sopan seperti aku, saya, kamu/ engkau, taun/ saudara, dan sebagainya. Kalau penutur tidak memahami kesensitifan budaya dalam hal ini, maka akibatnya mungkin tidak baik. Misalnya, ada seorang pelajar Amerika yang belajar bahasa Malaysia, telah dimarahi oleh seorang penghulu kerana menggunakan kata engkau terhadapnya. Ini adalah masalah budaya. Ada tanda-tanda yang guru bahasa Malaysia juga tidak mengetahui hal ini dengan lancar.Di samping itu, satu kesalahan lain ialah gerak laku yang menyertai pertuturan tersebut. Sambil berkata itu kita mungkin mahu menunjukkan sesuatu, tetapi dalam budaya Melayu, ibu jari digunakan untuk menunjuk sebagai tanda hormat. Jadi, masalah ini selalunya merupakan satu aspek yang kerap dilanggar dalam pengajaran. Ada gerak laku yang dibuat dalam bertutur itu harus dibuat dengan betul.

1.7 Kesimpulan

Dalam suasana yang penuh masalah dan kritikan ini, tugas guru menjadi seakan-akan mustahil. Tetapi, sebenarnya hal ini memang tidak seburuk itu, keadaannya jelas semakin bertambah baik kalau berbanding dengan keadaan dahulu. Saya sengaja memaparkan perkara-perkara ini, untuk mengemukakan masalah yang harus diatasi oleh seseorang guru itu dalam mendaulatkan bahasa Malaysia. Dalam mencuba menyelesaikan masalah ini, kita haruslah terlebih dahulu mengenali masalah tersebut, dan seterusnya mencari penyelesaiannya. Tugas para guru itu tidaklah ringan. Masalah yang wajib diatasi bukan maslah bahasa sahaja, bahkan juga masalah sosial, budaya, psikologi, dan pedagogi. Seorang guru bahasa Malaysia bukan sahaja harus mempelajari selok-belok bahasa, tetapi juga aspek-aspek bukan bahasa. kesemuanya adalah aspek-aspek yang bergabung jalin dengan aspek bahasa dalam kemahiran keseluruhan.

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More